IKLAN_PROMOSI HEBAT

MY FOLLOWERS

Wednesday, October 5, 2011

Menara Condong Teluk Intan

Menara ini menjadi titik tumpu kepada bandar Teluk Intan. Uniknya condong seperti Menara Pisa di Itali. Dibina pada tahun 1885 oleh Leong Choon Choong, setinggi 85 kaki dan ada 110 anak tangga. Ia merupakan takungan air sebelum adanya Tangki Air Changkat Jong. Bangunan ini dilengkapi dengan jam besar dan mengikut seni bina menara-menara di China. Bentuk pagodanya memukau mata para pelawat. Bumbung puncak bentuk tudung saji tetapi bumbung serambi pula pisang sesikat. Kelihatan dari kejauhan bangunannya memiliki lapan tingkat tetapi apabila dekat hanya ada tiga tingkat sahaja. Konkrit asas bangunan diperbuat daripada susunan batu-bata melebar kira-kira 43 kaki garis pusat ukuran tapak tetapi menguncup ke atas sebanyak 27 kaki.

Di bawah bangunan terdapat sebuah telaga yang mengandungi air sedalam 13 kaki sebagai pengimbang struktur bangunan daripada gegaran di persekitarannya. Bumbung pisang sesikat dan tiga buah serambi melengkung meliliti bangunan asas seolah-olah menyembunyikan susunan batu-bata itu. Awal abad ke-20 menara ini berfungsi sebagai takungan air yang disedut daripada Sungai Perak untuk keperluan penduduk sekitar tetapi kini tidak lagi. Hanya dentingan jam gadangnya yang berbunyi setiap 15 minit dan dentingan ini mampu didengari sejauh lima kilometer terutama ketika malam hening. Itulah di antara keunikan Menara Condong Teluk Intan yang siap dibina pada tahun 1885. Ia terletak di suatu sudut Jalan Selat dan bersebelahan Jalan Bandar- betul-betul berada di jantung Bandar Teluk Intan; bandar ketiga terbesar di selatan negeri Perak Darul Ridzuan.

Kini, menara ini tidak digunakan lagi. Di bahagian bawahnya telah dihiasi dengan lanskap yang indah seperti pasu bunga, lantai marmar dan kerusi rehat untuk bersantai seisi keluarga. Bangunan menara ini pernah digunakan oleh Lembaga Perancang Keluarga Negara dan Persatuan Pengakap Teluk Intan.

No comments:

Kenangan Merentas Desa 2008